TEL: +603 2110 6884          EMAIL: admin@cid.my

UEM Sunrise tiada cadangan naik harga rumah

Category: News Published: Friday, 10 June 2022
Projek KAIA Heights menyumbang kepada jualan UEM Sunrise pada suku pertama 2022

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd tidak bercadang untuk menaikkan harga produk jualan hartanah pada tahun ini walaupun berdepan cabaran peningkatan harga bahan binaan.

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah, berkata pemaju hartanah itu masih belum terkesan ketara dengan peningkatan harga bahan binaan dan masih mampu menyerap kenaikan terbabit.

Justeru, beliau menegaskan bahawa syarikat tidak bercadang untuk menyemak semula harga projek hartanah yang akan dilancarkan pada tahun ini.

Katanya, harga jualan akan kekal untuk tahun ini, namun dengan sedikit pelarasan yang dibuat bukan disebabkan peningkatan harga bahan binaan, sebaliknya berkait kos lain.

"Ini (kenaikan harga bahan binaan) adalah sesuatu yang kami sedang pantau dengan rapat. Ketika ini, cara kami mengatasi risiko kenaikan harga bahan binaan adalah dengan melaksanakan proses tender secara strategik termasuk menganjurkan program pembangunan vendor dengan vendor terpilih.

"Untuk jangka panjang, kami akan membiarkan semua pihak mengetahui jumlah permintaan untuk bahan binaan, sekurang-kurangnya untuk tempoh lima tahun akan datang. Ini membolehkan vendor melakukan anggaran atau menentukan jumlah bekalan yang diperlukan.

"Sebagai balasan, kami berharap untuk mendapatkan had harga yang sesuai untuk bahan binaan yang akan peroleh dinanti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi kewangan syarikat itu untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2022 secara maya, hari ini.

Prestasi kewangan UEM Sunrise kembali positif selepas merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM19.02 juta berbanding kerugian RM4.3 juta pada suku sama tahun lalu.

Pendapatannya dalam tempoh dikaji meningkat 65 peratus kepada RM417 juta berbanding setahun sebelum.

Ia disokong terutama oleh aktiviti pembangunan hartanah tempatan serta penjualan 19 plot perindustrian dalam fasa tiga Kluster Perindustrian dan Logistik Selatan di Iskandar Puteri, Johor.

Aktiviti pembangunan hartanah mencatatkan jualan RM110 juta pada suku pertama 2022 dengan 64 peratus disumbangkan oleh projek di wilayah tengah, khususnya Serene Heights Bangi, KAIA Heights di Equine Park, Seri Kembangan dan Residensi Allevia di Mont'Kiara.

Pemaju hartanah itu menyasar untuk melancarkan projek hartanah bernilai RM3.3 bilion pada tahun ini dengan sasaran jualan RM1.5 bilion.



FOLLOW US

Reach Us

CiD Realtors Sdn Bhd (1285533-A)
Unit M-02, Multi Level Building TREC,
438 Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur Malaysia.

Tel: 03-21105884 / 03-21106884        
Fax: 03-21104889
Email: admin@cid.my