Pasaran hartanah dijangka pulih mulai separuh pertama 2022 - Juwai IQI

Ketua Segmen Bumiputera Juwai IQI, Muhazrol Muhamad berkata pertambahan dalam jumlah urus niaga itu akhirnya akan membawa kepada peningkatan tekanan harga terutamanya dalam segmen pasaran yang paling popular.
"Pemulihan ekonomi adalah faktor pertama yang akan membantu memacu pasaran hartanah.
"Pertumbuhan dalam sektor pembuatan serta perkhidmatan akan melonjakkan pekerjaan dan memberi kesan positif kepada pendapatan serta simpanan isi rumah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pertumbuhan ekonomi pada 2022 akan dipacu oleh sokongan dasar yang berterusan, jangkaan kelonggaran dalam langkah-langkah pembendungan COVID-19 termasuk permintaan yang lebih tinggi dalam sektor luaran dan domestik.
Di samping itu, pemulihan dalam sektor pembuatan, projek pembinaan serta infrastruktur akan memacu pekerjaan, selain pertumbuhan eksport yang akan disokong oleh permintaan luaran yang tinggi dan kenaikan harga komoditi.
Beliau menjelaskan bahawa pekerjaan sudah pulih dan akan menjadi lebih kukuh tahun ini manakala pengangguran menurun daripada 5.3 peratus pada Mei 2021 kepada 4.5 peratus menjelang September.
Malaysia diunjurkan mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.5 peratus hingga 6.5 peratus menjelang 2022 berbanding anggaran pertumbuhan 4.5 peratus pada 2021.
Sementara itu, Muhazrol ketika mengulas mengenai pandemik COVID-19 berkata walaupun data terperinci mengenai varian Omicron masih belum tersedia, dunia telah pun berpengalaman dalam menangani wabak itu sejak dua tahun lepas.
"Sebagai bukti, lihat sahaja kemasukan ke hospital berkaitan COVID-19 yang mana. Malaysia hanya merekodkan satu perempat berbanding tahap kemuncak pada awal 2021.
"Melalui kempen komunikasi, ujian dan vaksinasi, kerajaan telah mengurangkan impak pandemik.
"Terdapat sebab untuk mempercayai bahawa pengalaman yang dipelajari dalam peperangan ini juga akan membantu kami untuk membendung risiko daripada varian baharu," tambahnya.
Facebook:CiD Realtors, Malaysia Properties & Real Estate, Malaysia Real Estate Investment, Malaysia Real Estate Properties
Instagram:CiD Realtors
Twitter:CID Realtors