TEL: +603 2110 6884          EMAIL: admin@cid.my

Sime Darby Property belanja RM250j bangunkan Bandar Hamilton

Published: Thursday, 28 October 2021
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (dua dari kiri) dan Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican menyempurnakan acara pecah tanah Bandar Hamilton di Nilai, hari ini - Foto ihsan Sime Darby Property

NILAI: Sime Darby Property Bhd memperuntukkan RM250 juta bagi membangunkan Bandar Hamilton di sini, yang menjadi sebahagian daripada koridor pembangunan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0).

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican, berkata pembangunan Bandar Hamilton di kawasan 1,101 hektar adalah pelengkap kepada kluster industri di bawah perancangan MVV 2.0 yang membabitkan pembangunan empat fasa berbeza.

"Fasa Satu, Dua dan Empat akan difokuskan untuk aktiviti perindustrian sederhana manakala Fasa Tiga pula dibangunkan khusus untuk perindustrian ringan yang akan dilengkapi dengan kilang berkembar dan separa berkembar siap dibina serta berkonsepkan taman perindustrian terurus.

"Projek pembangunan Bandar Hamilton ini akan mengambil masa selama tiga tahun dan sudah bermula sejak Jun lalu serta dijangka siap keseluruhannya pada 2024," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Pembangunan Bandar Hamilton di sini, petang tadi.

Majlis disempurnakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Yang turut hadir, Ahli-Ahli Exco kerajaan negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malek.

Azmir berkata, siri pembangunan industri bercampur ini bersesuaian dengan keperluan berbeza mengikut jenis perniagaanserta mampu untuk membangunkan komuniti berasaskan industri.

Beliau berkata, lokasi bandar Hamilton terletak di kawasan yang strategik yang dilengkapi akses kepada infrastruktur penting seperti jaringan lebuhraya bagi perniagaan yang mencari alternatif di luar Lembah Klang.

Malah, katanya bandar berkenaan turut menghubungkan hab logistik utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Pembangunan bandar ini dijangka dapat mewujudkan 740,000 peluang pekerjaan baharu kepada penduduk di kawasan sekitar.

"Kami komited untuk terus mengembangkan segmen industri dan logistik dengan memanfaatkan trend perdagangan global yang semakin beralih kepada pembelian dalam talian," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah merekodkan 100 peratus tempahan lot industri kepada syarikat tempatan dan antarabangsa termasuk yang terawal dari Taiwan.

Sementara itu, Aminuddin berkata, pembangunan Bandar Hamilton membuktikan komitmen kerajaan negeri bekerjasama dengan pihak swasta untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan seterusnya memastikan ekonomi negeri terus berkembang.

"Program pada hari ini adalah bukti jelas kerjasama erat antara kerajaan negeri dan pihak pemaju Sime Darby Property untuk memajukan Lembah Wawasan Malaysia atau MVV 2.0 sebagai katalis pembangunan di Negeri Sembilan.

"Kerajaan negeri sentiasa menitikberatkan perkara berkaitan faedah ekonomi dan sosial. Atas dasar itu, kerajaan menyasarkan untuk mewujudkan lebih 700,000 peluang pekerjaan baharu menjelang 2045 daripada pelaburan serta pembangunan sektor perindustrian berteknologi tinggi dalam perancangan MVV 2.0," katanya.

Beliau juga berkata, pembangunan MVV 2.0 yang merangkumi daerah Seremban dan Port Dickson akan memacu kemajuan Negeri Sembilan sebagai negeri maju yang memiliki pembangunan metropolis bertaraf dunia yang kompetitif, inklusif dan bersih.

"Insya-Allah, ini akan sekali gus memberi impak positif kepada ekonomi negara menerusi pelaburan tempatan dan antarabangsa.

"Melalui MVV 2.0 juga, kerajaan negeri merangka pelan untuk merangsang ekonomi di Negeri Sembilan dengan menyasarkan pemain utama yang mampu memberi impak menyeluruh," katanya.



Facebook: CiD Realtors,   Low Tung,   Property in Malaysia,   MALAYSIA PROPERTY - Buy / Sell / Rent,   PROPERTY MALAYSIA (FREE ADVERTISING GROUP)
Instagram: CiD Realtors
Twitter: CID Realtors

Reach Us

CiD Realtors Sdn Bhd (1285533-A)
Unit M-02, Multi Level Building TREC,
438 Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur Malaysia.

Tel: 03-21105884 / 03-21106884        
Fax: 03-21104889
Email: admin@cid.my