TEL: +603 2110 6884          EMAIL: admin@cid.my

Syor beli rumah di pinggir bandar dalam Bajet 2022

Published: Thursday, 28 October 2021
Kawasan pinggir bandar seperti Dengkil Semenyih

KUALA LUMPUR: iProperty.com mencadangkan supaya kerajaan mempromosikan pembelian rumah di kawasan pinggir bandar sebagai antara cara merangsang pemulihan pasaran hartanah kediaman di negara ini melalui Bajet 2022.

Pengurus Besar iProperty.com.my, Shylendra Nathan, berkata cadangan itu adalah usaha untuk menguraikan kawasan pusat perniagaan (CBD) di Lembah Klang dan pusat bandar negeri-negeri, sekali gus menjadikan kawasan pinggir bandar sebagai pilihan yang menarik berbanding kediaman bandar yang padat.

"Melihat trend atau hibrid kerja dari rumah (WFH) mungkin kekal untuk satu jangka masa meskipun kita sedang beralih ke endemik, individu mempunyai kurang sebab untuk tinggal dekat dengan tempat kerja, sekali gus mencari rumah yang menawarkan ruang lebih besar di pinggir bandar sebagai ganti," katanya dalam satu kenyataan.

Shylendra berkata, pihaknya melihat trend migrasi ke pinggir bandar berlaku melalui Analisis Permintaan Portal iProperty.com.my Separuh Pertama 2021 (Pasaran Sekunder Kediaman) terbaharu.

Katanya, ia khususnya membabitkan kawasan pinggir bandar Selangor seperti Puncak Alam, Dengkil dan Semenyih, yang masing-masing meningkat lima, dua dan empat peratus tahun ke tahun kerana terdapat penawaran rumah teres berpatutan dan ruang lebih luas di kawasan terbabit.

"Apabila permintaan pengguna untuk daerah pinggiran kota meningkat, kerajaan kemudiannya akan dapat memperkenalkan projek pembangunan infrastruktur utama untuk mengekalkan minat jangka panjang di daerah berkenaan.

"Menjadikan kemudahan lebih mudah diakses di kawasan ini seperti jalan raya, hospital, institusi pendidikan, kemudahan gaya hidup dan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih baik, kerajaan akan mengurangkan faktor tarikan bandar dan seterusnya mengurangkan kesesakan pusat bandar.

"Selain itu, penerusan trend WFH pasca pandemik akan menyaksikan individu terus bekerja dari rumah. Justeru, infrastruktur internet yang lebih baik dapat mengurangkan keperluan pekerja untuk tinggal atau berulang alik ke bandar untuk bekerja," katanya.

Sementara itu, iProperty.com.my turut mencadangkan kerajaan supaya meningkatkan keyakinan pembeli rumah warga asing menerusi pelonggaran syarat Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

"Ini akan melindungi reputasi Malaysia sebagai rumah kedua yang berdaya saing bagi pembeli rumah warga asing dan meningkatkan minat mereka terhadap pasaran hartanah negara ini dalam jangka panjang," katanya.

Beliau menambah, portal hartanah itu turut mengharapkan kerajaan memperkenalkan inisiatif pembeli rumah kali pertama bersasar untuk pemilikan rumah mampu milik.

"Kami menyarankan kerajaan melancarkan proses permohonan kemudahan pembiayaan rumah seperti Skim Rumah Sewa Untuk Beli (RTO), Skim Perumahan Belia, Dana untuk Rumah Mampu Milik, dan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit) untuk mengurangkan lagi halangan kemasukan untuk pembeli rumah kali pertama," katanya.



Facebook: CiD Realtors,   Low Tung,   Property in Malaysia,   MALAYSIA PROPERTY - Buy / Sell / Rent,   PROPERTY MALAYSIA (FREE ADVERTISING GROUP)
Instagram: CiD Realtors
Twitter: CID Realtors

Reach Us

CiD Realtors Sdn Bhd (1285533-A)
Unit M-02, Multi Level Building TREC,
438 Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur Malaysia.

Tel: 03-21105884 / 03-21106884        
Fax: 03-21104889
Email: admin@cid.my