TEL: +603 2110 6884          EMAIL: admin@cid.my

Glomac sasar habiskan jualan Primrose dalam setahun

Published: Thursday, 14 October 2021
Ketua Pegawai Operasi (Operasi) Glomac, Zulkifly Garib.

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Glomac Bhd, menyasar untuk menjual semua 123 unit projek perumahan rumah dua tingkat Primrose di perbandaran Saujana KLIA, Sepang dalam tempoh setahun ini.

Ketua Pegawai Operasi (Operasi) Glomac, Zulkifly Garib berkata, ketika ini lebih 40 pembeli sudah membuat tempahan untuk membeli rumah projek berkenaan dan menerima beratus pendaftaran daripada pembeli yang berminat.

Katanya, pihaknya juga menjangkakan akan berlaku kelewatan dari segi penyiapan projek itu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hampir empat bulan bermula awal Jun lalu yang menyebabkan projek pembinaan tidak boleh beroperasi.

"Kita menjangkakan projek ini akan siap dibina sepenuhnya pada akhir tahun 2023, daripada jadual asal iaitu pada Mei 2023 susulan pelaksanaan PKP," katanya pada taklimat pengemaskinian projek Primrose itu secara maya semalam.

Primrose dibangunkan di atas tapak berkeluasan 3.7 hektar di perbandaran Saujana KLIA, dekat Sepang dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM72 juta.

Ia adalah dua projek terakhir rumah teres dua tingkat yang ditawarkan di perbandaran itu.

Primrose adalah sebahagian daripada pembangunan Saujana KLIA seluas 93.48 hektar dengan GDV sebanyak RM1.3 bilion.

Setakat ini, Glomac menjayakan tujuh pembangunan kediaman yang terdiri daripada 905 unit rumah teres dua tingkat dan sebuah hab komersial yang terdiri daripada 72 buah kedai pejabat dengan anggaran GDV sebanyak RM560 juta.

Pembeli Primrose berpeluang menikmati rebat daripada Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2.0 yang masih ditawarkan dan bakal berakhir tidak lama lagi.

Penduduk perbandaran itu juga bakal menikmati kemudahan rumah kelab yang kini sedang di peringkat perancangan reka bentuk dan dijangka siap dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi.

Mula dibangunkan pada 2015, Saujana KLIA dirancang sebagai pembangunan kediaman bercampur di pinggir bandar dengan pelbagai jenis rumah atas tanah mampu milik seperti rumah teres dua tingkat berukuran 20x70 dan 20x75, banglo, kedai pejabat , pangsapuri dan rumah bandar sebesar 24x60 dan 22x70 (Rumah Selangorku).

Saujana KLIA terletak di lokasi strategik yang berdekatan dengan kemudahan-kemudahan seperti institusi pendidikan, pusat komersial, pusat pengangkutan awam, pusat logistik strategik, kemudahan penjagaan kesihatan dan kawasan rekreasi.

Ia boleh diakses melalui lebuh raya utama iaitu Lebuh Raya KESAS, Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Lebuh Raya Maju (MEX), Lebuh Raya ELITE, Lebuh Raya KLIA dan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).



Facebook: CiD Realtors,   Low Tung,   Kuala Lumpur Properties Listing,   PROPERTY OF MALAYSIA,   Property Malaysia
Instagram: CiD Realtors
Twitter: CID Realtors

Reach Us

CiD Realtors Sdn Bhd (1285533-A)
Unit M-02, Multi Level Building TREC,
438 Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur Malaysia.

Tel: 03-21105884 / 03-21106884        
Fax: 03-21104889
Email: admin@cid.my