TEL: +603 2110 6884          EMAIL: admin@cid.my

Menyewa lebih relevan dalam situasi semasa

Published: Wednesday, 06 October 2021
Permintaan terhadap hartanah kediaman sewa di Malaysia mengalami pertumbuhan positif - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Situasi pasaran hartanah pada masa ini memihak kepada penyewa kerana lebih relevan dari segi kewangan berikutan komitmen bulanan yang lebih rendah berbanding pembelian hartanah, terutama ketika berlaku peningkatan kadar pengangguran.

Pengurus Besar Penyelesaian Data Pelanggan dan Kualiti iProperty.com.my, Premendran Pathmanathan, berkata pemilik rumah terpaksa menyerap sebahagian daripada kos dan menurunkan harga sewa kediaman mereka.

"Ini kerana, pemilik terpaksa bersaing untuk menarik minat penyewa yang stabil dari segi kewangan. Penyewa juga lebih menumpukan kepada kediaman yang berharga antara RM1,000 hingga RM1,500.

"Pemilik yang kebanyakannya sudah menurunkan harga jualan atau sewaan, lebih cenderung untuk memastikan hartanah mereka dijual atau disewa dengan secepat mungkin tanpa memikirkan soal keuntungan," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media Analisis Permintaan Portal (Pasaran Hartanah Sewa) Separuh Pertama 2021 secara maya hari ini.

Premendran berkata, hasil sewa merangkumi semua jenis hartanah kediaman juga didapati merosot, memberikan kelebihan kepada penyewa untuk berunding mengenai harga sewaan.

Beliau berkata, situasi ini berlaku sejak tahun lalu dan berlanjutan sehingga separuh pertama 2021, apabila kemerosotan harga sewa adalah lebih tinggi berbanding kemerosotan harga jualan, sekali gus mengurangkan hasil sewa.

"Hasil sewa untuk rumah teres merosot kepada 2.9 peratus daripada 3.3 peratus pada tempoh dikaji.

"Sementara itu, pergerakan hasil sewa untuk kondominium dan apartmen servis masing-masing merosot sebanyak 0.3 peratus dan 0.2 peratus dengan kediaman jenis pangsapuri saja masih kekal pada 4.4 peratus," katanya.

Mengulas lanjut, Premendran berkata disebabkan penurunan harga kebanyakan hartanah, permintaan terhadap hartanah kediaman sewa di Malaysia mengalami pertumbuhan positif tahun ke tahun kepada 1.9 peratus pada separuh pertama 2021 berbanding -5.6 peratus pada tempoh sama tahun lalu.

Dalam masa sama, katanya pandemik COVID-19 sejak awal tahun lalu mengubah trend pencari hartanah di negara ini mendapatkan ruang yang lebih besar dengan rumah teres menjadi jenis kediaman paling popular pada separuh pertama tahun ini.

Beliau berkata, melihat kepada sudut positif, kadar vaksinasi yang semakin tinggi akan meningkatkan lagi keyakinan terhadap pasaran hartanah.

"Disebabkan negara sedang beralih ke fasa endemik menjelang penghujung Oktober, pasaran hartanah dijangka akan terus pulih tahun ini sehingga 2022," katanya.



Facebook:CiD Realtors,   PROPERTY MALAYSIA (FREE ADVERTISING GROUP),   Kuala Lumpur Properties Listing,   KL & Selangor Properties (New Project Only)
Instagram:CiD Realtors
Twitter:CID Realtors

Reach Us

CiD Realtors Sdn Bhd (1285533-A)
Unit M-02, Multi Level Building TREC,
438 Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur Malaysia.

Tel: 03-21105884 / 03-21106884        
Fax: 03-21104889
Email: admin@cid.my