TEL: +603 2110 6884          EMAIL: admin@cid.my

Cyberview dapat hak pembangunan Zon Flagship Cyberjaya

Published: Friday, 01 October 2021
Cyberview Sdn Bhd

KUALA LUMPUR: Pemaju hab teknologi, Cyberview Sdn Bhd mengambil alih hak pembangunan Zon Flagship Cyberjaya (CFZ) berkeluasan 183.4 hektar yang sebelum ini dipegang oleh Setia Haruman Sdn Bhd.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata langkah itu seiring dengan mandat kerajaan kepada Cyberview untuk menerajui pembangunan Cyberjaya.

"Langkah itu akan membolehkan Cyberview memberi tumpuan menggiatkan semula Cyberjaya sebagai sebahagian daripada pelan induk baharu untuk meletakkan Cyberjaya sebagai pemangkin utama dalam memacu teknologi dan inovasi kepada Malaysia.

"Cyberview akan menumpukan kepada kluster teknologi di ekosistem Cyberjaya, termasuk mobiliti pintar, penjagaan kesihatan pintar dan kreativiti digital yang menyokong agenda negara dalam memacu ekonomi digital ke hadapan," katanya.

Menurut Cyberview, rancangan induk itu turut merangkumi inisiatif bagi menarik lebih banyak pelaburan, serta memacu penyelidikan dan pembangunan, dan pengkomersialan di Cyberjaya.

Pengarah Urusan, Najib Ibrahim, berkata kira-kira 50 peratus daripada simpanan tanah Cyberview sudah dibangunkan setakat ini, manakala 23 peratus telah dijual untuk pembangunan berikutnya.

Beliau berkata, penerimaan hak pembangunan itu akan membolehkan syarikat berkenaan memudahkan pembangunan pusat data baharu yang kini meningkat berdasarkan minat daripada syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa.

"Menjadi tanggungjawab Cyberview sebagai pemaju hab teknologi Cyberjaya untuk melaksanakan bukan sahaja infrastruktur keseluruhan pembangunan Cyberjaya, malah, memperkukuh ekosistem perbandaran untuk tempoh lima tahun akan datang," katanya.


Reach Us

CiD Realtors Sdn Bhd (1285533-A)
Unit M-02, Multi Level Building TREC,
438 Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur Malaysia.

Tel: 03-21105884 / 03-21106884        
Fax: 03-21104889
Email: admin@cid.my